Tuesday 4 March 2014

Kill Bill Vol.1 - The Bride is back for the Final Cut

Kill Bill merupakan sebuah filem aksi di bawah arahan Quentin Tirantino. Filem ini secara keseluruhannya menceritakan tentang dendam seorang wanita yang terselamat daripada pembunuhan semasa hari perkahwinannya semasa dia sedang mengandung terhadap sebuah kumpulan elit yang dikenali sebagai The Deadly Assasination Squad. 

Dibarisi oleh barisan pelakon hebat terdiri daripada Uma Thurman sebagai watak utama iaitu 'the bride', Vernita Green lakonan Vivica A.Fox, Elle Driver(Daryl Hannah), O-ren Ishii(Lucy Liu), Sofie Fatale (Julie Dreyfus) dan Gogo Yubari (Chiaki Kuriyama) telah menjadikan filem ini berlainan dari filem-filem aksi yang lain kerana terdapat gabungan dari segi seni pertahanan diri bercorak moden dan klasik. watak antagonis dalam filem ini dibawa oleh seorang lelaki bernama Bill yang agak misteri kerana sepanjang penceritaan, wajahnya tidak pernah ditayangkan melainkan suaranya sahaja.


Filem ini bermula di sebuah rumah, didiami oleh Vernita Green, salah seorang ahli The Deadly Assasination Squad (DAS) yang mati ditikam oleh Black Mamba( the bride) di hadapan anaknya yag berusia empat tahun. Dimulakan dengan aksi pembunuhan secara mendadak, filem ini telah membuatkan para penonton tertanya-tanya akan motif pembunuhan yang sebenar.

Filem ini kemudiannya berkembang lagi dengan babak watak utama berada di hospital dalam keadaan koma di mana dia cuba dibunuh oleh Elle Driver( juga ahli DAS) namun ditahan oleh Bill.( ketua DAS). 'the bride' yang kemudiannya sedar daripada koma setelah 4 tahun berkeadaan begitu, telah berjaya melepaskan diri dari hospital dan memulakan operasi mengesan ahli-ahli DAS yang lain.

Dalam misi mengesan kesemua ahli DAS,' the bride' telah berjaya mendapatkan sebilah pedang samurai daripada Hattori Sanzao di Okinawa, seorang pembuat pedang yang terunggul. Dalam misinya untuk membunuh O-ren Ishii di Tokyo, dia juga berhadapan dengan Sofie Fatale, yang juga terlibat dalam pembunuhannya 4 tahun lalu. Filem ini mencapai klimaks semasa pertempuran antara watak utama dan O-ren Ishii yang akhirnya berpihak kepada watak utama.

Aksi-aksi yang dipamerkan dalam filem ini terutamanya babak pertempuran akhir yang bertempat di Tokyo, bercorakkan unsur perlawanan samurai. Suasana dan kawasan pengambaran jelas menunjukkan zaman yakuza di Jepun. Filem ini juga merupakan hasil garapan daripada filem Game of Death lakonan Bruce Lee berdasarkan cara pemakaian watak utama dan corak pertempuran yang dipamerkan dalam babak akhir. 


Secara keseluruhannya, filem ini agak ganas kerana terlalu fokus akan aksi-aksi pertempuran. Namun, hasil susunan idea yang menggabungkan animasi dan realiti ternyata memberikan sentuhan yang berbeza terhadap para penonton.


Akhir sekali, para penonton ditinggalkan dengan tanda tanya akan identiti Bill dan anak kandungan Uma yang masih hidup. - Bersambung di Vol 2-



No comments:

Post a Comment